Dalam kejadian itu, seorang buruh warga Bangladesh tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara empat rakannya cedera termasuk seorang parah akibat dihempap dan terjatuh dari perancah yang runtuh itu.
Bangunan setinggi empat tingkat itu mula dibina pada 15 Disember tahun lepas dan dijangka siap 18 Oktober ini.
Pada 21 Disember lalu, bahagian bumbung kaca pada projek membina dan menyiapkan terminal pengangkutan awam yang bernilai RM4.2 juta di Kuala Berang runtuh.
Projek itu milik Majlis Daerah Hulu Terengganu yang dilaksanakan oleh kontraktor Gemilang Mega Sdn Bhd.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan empat pekerja termasuk tiga warga Bangladesh cedera.
Akibat runtuhan itu, atap gentian kaca yang berukuran 1 x 2 meter bertaburan di bahagian laluan pejalan kaki bersama penyokong yang tercabut dengan bahagian bumbung itu. (gambar kiri)
Kos untuk pemasangan bahagian bumbung pada projek yang dimulakan pertengahan 2008 lalu itu sekitar RM700,000.
Sebelum itu, beberapa kejadian bumbung runtuh turut berlaku di beberapa bangunan seperti dewan sekolah, stadium dan masjid.
Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kertih, Kemaman yang berharga RM2.1 juta runtuh kira-kira jam 9 pagi 3 Oktober 2009 dalam suasana cuaca baik tanpa ribut atau gempa bumi, menyebabkan tiga pekerja warga Indonesia yang sedang membaikinya cedera, seorang daripadanya parah.
Kerosakan di beberapa bahagian masjid itu termasuk bumbung dan siling telah dikesan sejak ia mula digunakan November 2008 tetapi aduan penduduk tidak diberikan perhatian oleh pihak berkenaan. (gambar kanan)
Menurut seorang penduduk, kebetulan semasa bumbung masjid itu runtuh tiada manusia, bagaimana kalau ia berlaku sewaktu orang ramai berada di situ.
“Saya dimaklumkan oleh penduduk, satu majlis akad nikah dirancang diadakan di masjid ini, masanya kira-kira sejam selepas berlaku bumbung runtuh, terpaksa dipindahkan,” katanya.
Pada 2 Jun 2009, sebahagian besar bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu yang baru setahun digunakan khususnya untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 pada 2008 runtuh jam 9.30 pagi.
Runtuhan bumbung sepanjang 80 meter itu dipercayai bermula pada bahagian tengah stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama termasuk pentas diraja. (gambar sebelah)
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM292 juta itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008.
Pada 12 April 2008, seluruh bumbung bangunan Dewan Saidina Abu Bakar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Tapai, Marang yang berharga RM2 juta runtuh secara tiba-tiba dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kekuda kayu yang menyokong bumbung bangunan yang siap dan digunakan akhir tahun 2005 itu tidak mampu bertahan menyebabkan keseluruhan bumbung runtuh. (gambar bawah)
Senario yang berlaku itu bagaimanapun tidak mengingatkan umum kepada bumbung dewan serbaguna Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad, Kuantan yang dalam pembinaan runtuh, kira-kira pukul 10 malam 6 Oktober 2005.
Bumbung bangunan berharga RM2.8 juta itu runtuh kemungkinan kerangka aluminium yang digunakan tidak kukuh bagi menampung atap genting. Dewan itu mula dibina awal 2004 dan sepatutnya disiapkan sepenuhnya awal 2005.
Pada 5 Mac 2003, kejadian bumbung runtuh itu turut berlaku ke atas makmal Sekolah Kebangsaan Rentam, Pahang.
Insiden dewan berkenaan sama seperti kejadian bumbung dewan makmal komputer sekolah yang runtuh di beberapa buah sekolah sehingga menyebabkan tercetusnya kontroversi pada 2005.
Ini kerana keruntuhan bangunan yang berlaku di negeri lain boleh disfatkan sebagai `kadang-kadang’ atau ‘jarang-jarang’ berbanding ‘banyak-banyak’ atau sinonim dengan negeri ‘Darul Iman’ terutama pembinaan yang melibatkan wang ehsan yang dirompak daripada royalti petroleum sewaktu zaman kerajaan PAS negeri pada 2000 hingga kini belum dikembalikan oleh kerajaan Pusat.
Walaupun keruntuhan yang berlaku itu adalah ketentuan dan ketetapan Allah Taala, namun ungkapan bekas Pengerusi Petronas yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa ‘orang berkata wang ehsan tidak berkat menyebabkan banyak bangunan runtuh’ perlu diberikan perhatian oleh pihak berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan