Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.
Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.
Pakatan Rakyat beriltizam untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidakseimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.
a. Ekonomi Kemahiran Tinggi
b. Ekonomi Demokratik dan Telus
c. Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
d. Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
e. Tenaga Kerja
f. Jaringan Perlindungan Sosial
g. Perumahan
h. Prasarana dan Kemudahan Awam
i. Alam Sekitar
j. Pertumbuhan Lestari dan Pembangunan Hijau
a. Ekonomi Kemahiran Tinggi
Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
- Menjamin peluang pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.
- Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti.
- Menggalakkan warga negara yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang professional dan menarik.
b. Ekonomi Demokratik dan Telus
Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.
Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mampan serta menghakis daya saing negara.
Pakatan Rakyat akan:
- Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
- Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.
- Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.
c. Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri
Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.
Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
- Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
- Mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.
- Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang.
- Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.
d. Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan
Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.
Pakatan Rakyat akan:
- Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
- Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
- Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
- Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.
- Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
- Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan.
e. Tenaga Kerja
Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.
Pakatan Rakyat akan:
- Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
- Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.
- Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.
- Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.
- Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.
- Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
- Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.
f. Jaringan Perlindungan Sosial
Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.
Pakatan Rakyat akan:
- Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.
- Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.
- Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.
g. Perumahan
Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:
- Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.
- Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka bandar’sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.
- Menyelaraskan sistem perundingan antara ‘setinggan/peneroka bandar’, pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah;
- Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;
- Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
- Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.
- Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.
h. Prasarana dan Kemudahan Awam
Penyediaan dan penyelenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.
Pakatan Rakyat akan:
- Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.
- Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.
- Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.
- Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.
- Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.
- Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.
i. Alam Sekitar
Alam sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim, Pakatan Rakyat beriltizam:
- Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
- Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
- Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
- Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.
- Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.
j. Pertumbuhan Lestari dan Pembangunan Hijau
Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi hijau sebagai teras kepada era kemakmuran baru yang lestari dan saksama untuk Malaysia. Penyediaan prasarana dan perkembangan industri baru sejajar dengan peralihan ke arah ekonomi hijau akan menjadi enjin penjanaan pertumbuhan ekonomi yang dinamik.
Pakatan Rakyat akan:
- Memperkenalkan prasarana yang moden, lengkap dan sesuai untuk ekonomi karbon rendah, termasuk sistem pengangkutan awam berintegrasi bertaraf dunia dan sistem kitar semula yang menyeluruh.
- Membangunkan industri-industri yang berasaskan teknologi hijau seperti pembuatan panel suria dan sel fuel hidrogen.
- Memimpin pembangunan sistem sumber tenaga alternatif dan tenaga keterbaharuan di rantau Asia.
- Mengukuhkan sektor pertanian dengan kaedah dan teknologi terkini demi memastikan jaminan bekalan makanan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan