Pakatan Rakyat PRU13

Pakatan Rakyat PRU13

Khamis, 28 Oktober 2010

Zambry & Ayah Pin Sama2 sesat? Betul Kah....

Menteri Besar Bee End Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir masih meneruskan amalan perbuatan khurafat dan syirik ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong dalam kawasan parlimen Kuala Kangsar.

Dr Zamri telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya, upacara tersebut adalah amalan yang diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri - tiang tengah rumah - dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman... Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah,"

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria diminta tegas dalam perkara ini!
dan bukan hanya mufti perak, tetapi,, mufti di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak bagi menerangkang tetang perkara ini!

sila kemukakan ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam tidak terkeliru dan dikelirukan lagi!

sapa2 nak lebih jelas! cuba tengok gambar dan rakaman video ucapara tersebut dalam lamanweb dan Youtube.

Pemuda PAS ada menghantar memorandom dan meminta Harussani menegur atau mengeluarkan fatwa terhadap tindakan Zambry itu. Dan mufti perak itu menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Zambry itu dan berjanji akan menegurnya.

Tiada ulasan:

Dasar Pakatan Rakyat

Muafakat Rakyat

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan “demokrasi otoritarian”. Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tercicir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campur tangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin; kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

19 Disember 2009

1. Demokrasi Telus dan Tulen

a. Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang

Perlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153
  2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
  3. Memartabatkan pengunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
  4. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.
  5. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi.
  6. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

b. Pemisahan Kuasa

Keberkesanan amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman.
  2. Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.
  3. Menjamin pertanggungjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.
  4. Mewajibkan perlantikan jawatan- jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.
  5. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).
  6. Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.
  7. Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.
  8. Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.
  9. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.

c. Sistem Pilihanraya Yang Bersih, Bebas dan Adil

Kewibawaan sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan pilihanraya.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.
  2. Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.
  3. Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara adil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.
  4. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.
  5. Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.
  6. Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

2. Memacu Ekonomi Berprestasi Tinggi, Mapan dan Adil

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan dibidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.

Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.

Pakatan Rakyat beriltizam untuk ‘Merakyatkan Ekonomi Negara’ bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapisan rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan diantara kaya-miskin serta mengatasi ketidakseimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.

a. Ekonomi Kemahiran Tinggi

b. Ekonomi Demokratik dan Telus

c. Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri

d. Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan

e. Tenaga Kerja

f. Jaringan Perlindungan Sosial

g. Perumahan

h. Prasarana dan Kemudahan Awam

i. Alam Sekitar

j. Pertumbuhan Lestari dan Pembangunan Hijau



a. Ekonomi Kemahiran Tinggi

Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketerampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjamin peluang pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.
  2. Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti.
  3. Menggalakkan warga negara yang professional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanah air dengan menyedaikan suasana kerja yang professional dan menarik.

b. Ekonomi Demokratik dan Telus

Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggunjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mampan serta menghakis daya saing negara.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.
  2. Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsistensi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil kepada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasarana air.
  3. Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

c. Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri

Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan dasar pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.

Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkat hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.
  2. Mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.
  3. Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekali gus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang.
  4. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentu serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.

d. Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan

Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan Rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.
  2. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.
  3. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin tegar.
  4. Menyediakan biasiswa pendidikan berdasarkan keperluan dan merit.
  5. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.
  6. Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan.

e. Tenaga Kerja

Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.
  2. Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.
  3. Memperkenalkan Akta Peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.
  4. Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.
  5. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.
  6. Menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.
  7. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.

f. Jaringan Perlindungan Sosial

Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.
  2. Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.
  3. Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.

g. Perumahan

Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka Pakatan Rakyat akan:

  1. Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu Keluarga, Satu Rumah.
  2. Mengatasi masalah ‘setinggan/peneroka bandar’sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.
  3. Menyelaraskan sistem perundingan antara ‘setinggan/peneroka bandar’, pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah;
  4. Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah;
  5. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.
  6. Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.
  7. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.

h. Prasarana dan Kemudahan Awam

Penyediaan dan penyelenggaraan prasarana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Perlaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.
  2. Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.
  3. Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.
  4. Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.
  5. Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.
  6. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.

i. Alam Sekitar

Alam sekitar merupakan khazanah negara yang wajib dipelihara untuk kelestarian hidup generasi masa depan. Mendepani krisis perubahan iklim, Pakatan Rakyat beriltizam:

  1. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.
  2. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.
  3. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi untuk melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.
  4. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.
  5. Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antarabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.

j. Pertumbuhan Lestari dan Pembangunan Hijau

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi hijau sebagai teras kepada era kemakmuran baru yang lestari dan saksama untuk Malaysia. Penyediaan prasarana dan perkembangan industri baru sejajar dengan peralihan ke arah ekonomi hijau akan menjadi enjin penjanaan pertumbuhan ekonomi yang dinamik.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memperkenalkan prasarana yang moden, lengkap dan sesuai untuk ekonomi karbon rendah, termasuk sistem pengangkutan awam berintegrasi bertaraf dunia dan sistem kitar semula yang menyeluruh.
  2. Membangunkan industri-industri yang berasaskan teknologi hijau seperti pembuatan panel suria dan sel fuel hidrogen.
  3. Memimpin pembangunan sistem sumber tenaga alternatif dan tenaga keterbaharuan di rantau Asia.
  4. Mengukuhkan sektor pertanian dengan kaedah dan teknologi terkini demi memastikan jaminan bekalan makanan negara.

3. Keadilan Sosial dan Pembangunan Insan

a. Perpaduan dan Keadilan Sosial

b. Agama

c. Pendidikan

d. Wanita Dan Institusi Keluarga

e. Golongan Muda

f. Keselamatan

g. Kesihatan

h. Kebudayaan


a. Perpaduan dan Keadilan Sosial

Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.
  2. Mengembeling tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
  3. Menggubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.
  4. Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang oleh sebuah masyarakat yang terbuka.
  5. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.
  6. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia. Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira sejarah dan evolusi negara ini.
  7. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.

b. Agama

Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat. Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin.

Pakatan Rakyat berikrar:

  1. Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia.
  2. Menganjur dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.
  3. Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes- kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.
  4. Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.
  5. Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.

c. Pendidikan

Pendidikan seharusnya bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasad dan intelek. Melalui sistem pendidikan negara, Pakatan Rakyat bertekad untuk menyediakan sebuah sistem pendidikan yang mapan, bermutu dan menjamin peluang yang saksama kepada rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan negara.
  2. Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan matlamat mencari kebenaran.
  3. Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.
  4. Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan negara-negara maju.
  5. Memastikan perlantikan naib canselor, rektor, dan lain-lain penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis Senat.
  6. Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak;
  7. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.
  8. Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras dengan masa.
  9. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.
  10. Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan luar bandar dan pedalaman.
  11. Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.
  12. Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.
  13. Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan mencadangkan pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah (diploma berkembar).

d. Wanita Dan Institusi Keluarga

Pakatan Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Hakikat ini kerana wanita mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan dan yang adil dalam segala bidang.
  2. Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi Wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.
  3. Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.
  4. Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.
  5. Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.
  6. Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.
  7. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.
  8. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.
  9. Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

e. Golongan Muda

Hala tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan mereka kelak.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjamin peluang dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.
  2. Memastikan supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.
  3. Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia, khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala tuju negara.

f. Keselamatan

Terdapat peningkatan jenayah dan rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam
  2. Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis yang cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.
  3. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.
  4. Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.
  5. Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.
  6. Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.
  7. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.

g. Kesihatan

Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan kesihatan awam sewajarnya diperkasakan secara tuntas, sekaligus menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.
  2. Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.
  3. Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.
  4. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaan kesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.

h. Kebudayaan

Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.

Oleh itu Pakatan Rakyat mengambil bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).

Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:

  1. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui semua medium.
  2. Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.
  3. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.

4. Hubungan Persekutuan - Negeri dan Dasar Luar Negara

a. Sistem Persekutuan

b. Sabah & Sarawak

c. Dasar Luar Negara


a. Sistem Persekutuan

Hak negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Menjamin royalti sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
  2. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.
  3. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.

b. Sabah & Sarawak

Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.
  2. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk isu pendatang asing.
  3. Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.
  4. Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

c. Dasar Luar Negara

Kepimpinan Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog antara peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.

Pakatan Rakyat akan:

  1. Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan.
  2. Aktif menjadi pelopor dan peneraju dialog antara peradaban.
  3. Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan rakan-rakan serantau terutamanya anggota-anggota Asean.
  4. Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.