Pembangkang meningkat kembali pada pilihan raya umum ke-10, kemudian merudum pada pilihan raya umum ke-11. Dan pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 pembangkang meningkat dengan lebih gagah.
Ini bermakna setiap empat atau lima tahun prestasi setiap parti politik dilanda sindrom menaik dan menurun. Apakah faktornya. Ada yang berhujah Umno dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk fenomena tersebut kerana persempadanan pilihan raya berlaku setiap lapan atau 10 tahun sekali.
Umno dan BN melonjak tinggi pada pilihan raya ke-11 kerana persempadanan pilihan raya digazet pada 2003. Begitu juga pada pilihan raya 1995, pengaruh pembangkang merosot kerana faktor persempadanan pilihan raya 1994.
Dan sekarang sepatutnya rang undang-undang persempadanan baru pilihan raya dibentang di parlimen untuk mendapat kelulusan majoriti dua pertiga.
Namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum kedengaran membuat persiapan ke arah itu. Sedangkan sebelum ini perancangan atau taklimat di antara BN dan SPR menjelang persempadanan baru pilihan raya menjadi ligat.
Ramai melihat keghairahan itu hilang kerana BN tiada kuasa ajaib 2/3 di parlimen. Pindaan perlembagaan perlu kepada sokongan majoriti dan bukan sekadar simple majority seperti yang ada sekarang.
Ketika ini BN ada 137 kerusi parlimen berbanding 78 Pakatan Rakyat, manakala Bebas 7. Usaha awal yang dilakukan BN mengurangkan bilangan anggota parlimen (MP) Pakatan menampakkan hasilnya.
Empat MP KeADILan seperti terperangkap dalam jerangkap Umno/BN. Mereka iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayam Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baru).
Manakala MP Bebas sedia ada iaitu Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas) biar pun pada pilihan raya umum lalu menang di atas tiket PAS, Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau).
Berdasar kepada situasi tersebut bermakna BN + Bebas = 144 kerusi. Ini bermakna BN perlukan empat lagi kerusi bagi melengkapkan agenda persempadanan baru pilihan raya.
BN perlu mencapai sasaran 148 MP barulah kedudukan 2/3 di parlimen mampu diperolehi. Fakta di atas berlaku berdasar kepada perkiraan mudah sekiranya kesemua tujuh MP Bebas menyokong rang undang-undang persempadanan baru pilihan raya.
Umno dan BN sudah melangkah sebelah kaki untuk mencapai realiti itu. Namun usaha ke arah itu tidak mudah. Ini kerana empat bekas MP Pakatan biar pun sudah diwarna wajah BN, namun ada yang belum minat warna biru tua.
Kemungkinan Umno tidak mampu memperkudakan Zulkifli Nordin. Prinsipnya kelihatan masih tegap, biar pun sudah ada bias.
Dalam situai sekarang siapa lagi empat MP Pakatan yang akan menjadi mangsa terbaru Umno. Tergamakkan mereka menggadaikan prinsip perjuangan semata-mata membantu BN bangkit semula pada pilihan raya umum akan datang.
Sarjana Sains Politik, Wan Nik Wan Yussof berkata, tanpa faktor persempadanan baru pilihan raya, teori ayunan fenomena lama pilihan raya sukar untuk berlaku.
“Biar pun ada faktor Perdana Menteri baru yang muncul dengan gagasan 1Malaysia dan Juara Rakyat, namun perhitungan sebenar ialah persempadanan kawasan pilihan raya,” katanya.
BN berjaya menawan semula Terengganu pada 2004 kerana faktor persempadanan baru. Begitu juga pengaruh PAS di Kedah merosot dan ramai MP kalah kerana faktor tersebut.
Melalui persempadanan pilihan raya BN boleh melakukan apa sahaja untuk mengeluarkan kawasan kuat Pakatan dalam sesebuah parlimen.
Sama seperti berlaku di Pekan, Pahang apabila Datuk Seri Najib Razak hampir kecundang pada pilihan raya 1999, diselamatkan melalui persempadanan baru pilihan raya 2003.
Kem tentera dimasukkan ke kawasan parlimen Pekan bagi menyelamatkan Najib sehingga menang besar pada pilihan raya 2004.
Begitu juga dengan Datuk Mahfuz Omar kalah di Pokok Sena setelah kawasan kubu Umno dimasukkan ke dalam parlimen tersebut.
Inilah sebenarnya senjata yang dimiliki Umno dan BN, namun telah hilang pada pilihan raya umum lalu.
Maka bagi mengembalikan kuasa tersebut, BN perlu membayar dengan harga terlalu mahal mendapatkan lagi empat MP Pakatan. Sekiranya masih gagal setahun dua ini, maka persempadanan baru pilihan raya terpaksa dilupakan.
Berasaskan alasan itu, ayunan lama turun naik sesebuah parti mungkin tidak berulang kembali.
Cuma bagi Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani, Pakatan perlu memastikan daftar pemilih baru mencapai target ditetapkan.
“Tanpa pendaftaran pemilih baru strategik sebaik mana sekali pun tidak akan menjadi kenyataan kerana pengundilah yang menjadi hakim.
“Saya ingatkan jentera pilihan raya Pakatan perlu benar-benar memastikan daftar pemilih baru menepati apa yang disasarkan,” katanya di sini.
Bagaimanapun eksperimen situasi pilihan raya umum ke-13 dapat ditelah lebih awal melalui siri pilihan raya kecil ke-10 tidak lama lagi.
Sembilan pilihan raya kecil sebelum ini, hanya dua yang berpihak kepada BN iaitu di Batang Air dan Bagan Pinang. Namun BN mengigit jari di Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan Permatang Pasir.
Rekod siri pilihan raya kecil mencatat sejarah selepas pilihan raya umum ke-12 lalu. Tercatat juga rekod apabila tiga pilihan raya kecil diadakan ekoran wakil rakyat meletak jawatan.
Ia berlaku di Permatang Pauh apabila Datuk Seri Wan Azizah Ismail meletak jawatan. Begitu juga di Bukit Selambau, V Arumugam menggosongkan kerusi selepas menghadapi tekanan politik pihak lawan.
Di Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin juga mengambil langkah serupa. Sejarah yang dicatat mereka memecah rekod pilihan raya kecil sejak merdeka.
Biar apa pun tumpuan seluruh negara sekarang terarah ke Hulu Selangor. Sekiranya Pakatan gagal mempertahankan kerusi tersebut, bermakna BN hanya perlukan tiga lagi MP bagi melengkapkan agenda persempadanan baru pilihan raya.
Namun pertelingkahan awal antara MIC dan Umno berebut soal calon seakan-akan memperlihatkan tiada jalan mudah buat BN. MIC mahu status quo dikekalkan, manakala Umnno berkeras pertahankan calon Melayu.
Dan di Hulu Selangor sekali lagi Pakatan berpeluang membuka pekung Umno/BN. Isu APCO, GST, kehilangan enjin F-5E, kapal selam Scorpion, kudeta di Perak, Zon Bebas Pelabuhan Kelang, royalti minyak di Kelantan, dan kemelut MCA boleh dihidang semula kepada rakyat.
Hulu Selangor bakal menjadi petunjuk, sebelum pilihan raya negeri Sarawak mengambil tempat. Siapa juara rakyat, 1Malaysia atau Pakatan, pengundi Hulu Selangor ada pilihannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan